Wednesday 16 December 2015

Bisnes Sulaman

Entri 13

Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Alhamdulillah kerana kita semua masih diberi peluang untuk menjadi lebih baik daripada semalam. 


Hari ini Kak Niza nak berkongsi sedikit pengalaman bisnes sulaman yang telah dijalankan mulai tahun 2009 lagi. Pada masa itu, tidak terlintas untuk membuat sebarang bisnes dalam bidang sulaman ni.


Minat yang mendalam terhadap jahitan sulaman telah membuatkan Kak Niza menyertai kelas sulaman manual atau sulaman goyang walaupun sedang sarat mengandungkan anak yang ketiga. 
Sulaman goyang bermaksud sulaman menggunakan mesin tetapi untuk membuat corak, kita perlu  mengayak atau menggerakkan pemidang kain. Dari situ timbulnya istilah sulaman goyang.
Sumber: Internet


Dengan takdir Allah, cikgu yang mengajar sulaman mahu menjual mesin sulaman kerana hendak berpindah ke daerah lain. "Bagai bulan jatuh ke riba", dengan izin suami, kak Niza beli mesin tersebut.
 Mesin model 20u43 jenama Singer ini merupakan  mesin 2 dalam 1. Mesin ini boleh dilaraskan untuk jahit lurus dan jahit zig-zag bagi sulaman. 
Pada masa itu, sulaman hanya sebagai hobi. 

Mesin sulam pertama


Suatu hari, Kak Niza sangat tertarik dengan demo sulaman yang dibuat di pasaraya Macro. Kak Niza sangat jatuh hati dan teringat-ingat akan kecanggihan mesin sulam berkomputer yang boleh beroperasi tanpa perlu goyang-goyang. 
Mesin tersebut juga boleh disambung kepada pendrive dan ada slot untuk kad. Ini bermaksud mesin tersebut memang 'hidup' kerana boleh ditambah corak sulaman selain daripada corak yang sedia ada dalam mesin tersebut.


Tambahan pula, Mak Wan iaitu kakak yang membuat demo tersebut, telah menghadiahkan sehelai saperah bersulam kepada Kak Niza. Setiap hari Kak Niza jadi angau. Akhirnya, mesin tersebut Kak Niza beli dan mesin yang lama telah dijual. Bermulalah episod bisnes sulaman. (Maaf, panjang pula sesi pendahuluan)
Bunga sulaman pada saperah oleh Mak Wan

Kak Niza menebalkan muka bertanyakan guru koperasi sekolah tentang tempahan tanda nama. Tak sangka kerana maklum balas adalah sangat positif. Satu sekolah telah ditawan. Menjahit dan bekerja disamping anak-anak yang masih kecil memang perkara yang agak memenatkan. 

Mesin sulam kedua

Setiap hari, apabila pulang dari kerja, Kak Niza mesti pastikan mesin bekerja mengikut perancangan. Biasanya senarai nama pelajar tingkatan 1 diperoleh pada minggu kedua persekolahan.  Pertengahan bulan Februari semua tanda nama sudah siap bagi pelajar tingkatan 1. Disini kiraan sasaran bilangan tanda nama mesti dibuat.
 Bilangan keping tanda nama  perlu dibahagi dengan bilangan jam  mesin bekerja dalam sehari. Kena pandai membahagikan masa antara kerja, rumahtangga dan hobi .Sasaran mesti dicapai supaya kualiti perkhidmatan tidak terjejas.


Kemudian, dengan izin Allah, kawan-kawan, jiran tetangga, orang persendirian  mula menempah tanda nama untuk anak masing-masing, termasuklah guru tadika anak Kak Niza sendiri. Kemudian, cawangan tadika tersebut juga iaitu Tadika Minda Inovasi Mewah turut menempah tanda nama. 
Perkhidmatan ini telah merebak melalui mulut ke mulut. Suami Kak Niza juga sudah pandai 'membuka mulut' dan mendapatkan tempahan. Alhamdulillah.


Tempahan yang banyak dengan masa yang terhad membuatkan Kak Niza berjaga lewat malam. Pada masa tu kak Niza belum ada software. Sangat rumit jika tedapat nama yang agak panjang. Kak Niza membeli blok huruf daripada Mak Wan. Setiap fail hanya satu huruf. Bayangkan berapa kali Kak Niza perlu buka dan tutup fail untuk mengeja satu nama. Kemudian huruf-huruf tersebut perlu disusun agar sama dan berada ditengah-tengah bingkai tanda nama.
 Memang agak sukar. 
Semua kesukaran terpaksa diredah dan tersemat keazaman untuk membeli software Janome. RM7000 ..... berpeluh dahi  apabila teringatkan kosnya.

Tempahan betambah. Satu mesin tidak dapat menampung pengeluaran dengan produktif. Dengan duit hasil sulaman, Kak Niza membeli sebuah lagi mesin sulam. Rezeki yang tidak dijangka. Melalui Mudah.my, Kak Niza membeli mesin sulam Janome 350e dengan harga RM2500 lengkap dengan kad sulaman dan peralatan lain. Mesin ini hanya boleh berfungsi sbagai mesin sulaman sahaja. Proses sulaman sudah berjalan lancar.  Alhamdulillah sekali lagi. 


Mesin sulam ketiga

Proses memotong benang, memotong kepingan tanda nama, mengemas bahagian tepi, memasukkan 3 keping set nama ke dalam plastik dan mengasingkan tanda nama mengikut kelas pula mesti dilakukan dengan cekap. Anak-anak memberi bantuan. Pernah suatu ketika, oleh sebab terlalu sibuk dengan tugasan rasmi, Kak Niza terpaksa mengepos tanda nama yang sudah siap dijahit ke kampung. Ibu dan adik-beradik menolong melakukan proses lain sehingga siap.


Aktiviti sulaman semakin rancak. Tempahan bekas tisu, tuala, tanda nama, t-shirt,  kotak pensil, beg semakin banyak. Fokus utama ialah sulaman tanda nama. 

Kemudian, kawan Kak Niza iaitu seorang guru telah meminta Kak Niza menjahit tanda nama untuk sekolahnya pula. Rezeki semakin bertambah. Dua buah sekolah dan dua buah tadika. Nampaknya, perlu tambah satu mesin lagi dan software untuk memudahkan kerja.

Terlalu panjang pula celoteh kali ini. Untuk perkongsian mesin keempat dan software akan Kak Niza ceritakan dalam entri seterusnya.

Sekian dulu untuk kali ini. Semoga perkongsian ini memberi sedikit manfaat kepada rakan pembaca.


Sekian.

Wassalam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...