Thursday, 8 October 2015

Resepi Kulit Tart

Entri 4

Teks : Aniza Ismail
Foto : Aniza Ismail

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua rakan pembaca berada dalam keadaan sihat dan ceria.

   Kali ini saya ingin berkongsi resepi kulit tart yang rangup dan sedap. Pada masa sekarang ini ramai orang suka berkongsi resepi. Mungkin sudah ramai orang telah sedar bahawa semakin banyak kita berkongsi ilmu, semakin murah rezeki kita. Alhmadulillah.

   Saya sendiri pun menggunakan resepi yang diambil daripada salah seorang blogger masakan iaitu Pn. Azlita bt Abdul Aziz dari masam manis. Pn. Azlita berkongsgi resepi yang diambil daripada blogger Pn. Azita Zain. Berikut adalah resepi beliau. Sesiapa yang baru pertama kali mahu cuba membuat kulit tart pasti akan tersenyum lebar apabila melihat hasil daripada resepi ini. Ikut sukatan dan cara-cara membuatnya tanpa sebarang perubahan. Cuma saya ada sedikit tambahan dari segi penerangan.


Resepi Asal: Pn. Azita Zain
Dikongsi oleh : Pn. Azlita bt Abdul Aziz
Foto : Aniza Ismail

Kulit Tart
Bahan-bahan

170 gm marjerin atau butter (saya guna Buttercup)
50 gm gula aising
1 biji telur C
(jika guna telur B, kurangkan sedikit putih telur untuk mengelakkan kulit tart menjadi keras)
290 gm tepung gandum
1 sudu kescil esen vanila

Cara-cara membuatnya


1. Ayakkan gula ising ke dalam mangkuk yang berisi margerin atau butter (Rajah 1). Selalunya gula aising agak berketul-ketul. Rajah 2 menunjukkan ketulan gula ising selepas di ayak.. Tekan ketulan gula ising dengan sudu atau senduk untuk menghancurkannya. Ayak sehingga habis.

2. Putar mentega atau butter dengan senduk kayu atau spatula. Putar hingga sebati sahaja. Jangan putar terlalu lama. Maaf, fotonya tercicir.

3.  Masukkan esen vanila dan telur (Rajah 3) . Putar lagi sehigga sebati (Rajah 4)

4.  Masukkan tepung sedikit demi sedikit (Rajah 5). Uli sehingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh (Rajah 6).

5.  Masukkan doh ke dalam plastik dan simpan dalam peti ais beberapa jam atau semalaman. Kadang-kadang saya abaikan langkah ini. Terus ke langkah nombor 6. Hasilnya tidak mengecewakan. 

6. Ambil sedikit doh dan tekan ke dalam acuan tart. Jangan terlalu tebal. Boleh juga dicanaikan doh terlebih dahulu untuk dapatkan ketebalan yang seragam. Cucuk dengan garfu sebelum dibakar. Saya menggunakan acuan tart bersaiz 4.5 cm.

7.  Terlebih dahulu, panaskan oven selama 15 minit. Suhu 170 darjah Celcius. Ikut kepanasan oven masing-masing. Saya menggunakan api atas dan bawah.

8.  Bakar kulit tart selama 20-25 minit atau hingga masak.

9.  Apabila dah sejuk, terbalikkan acuan untuk mengeluarkan kulit tart. Pastikan kulit tart betul-betul sejuk sebelum di simpan dalam balang yang kedap udara. 

   Biasanya saya akan menyediakan kulit tart terlebih dahulu. Apabila ada kelapangan masa, barulah dibuat fillingnya. Senang dan menjimatkan masa.

  Bagi penyediaan filling pula,saya  akan tulis pada masa akan datang.

 Selamat mencuba!

Sehingga bertemu lagi di lain masa.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...