Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts

Friday, 16 March 2018

Pembuka Tirai 2018

Entri 46
Teks ;:Aniza Ismail
Foto : Google
email : pnanizaismail@gmail.com
fb : https://www.facebook.com/aniza.ismail
fb Page :  AriessaEmbroideryCraft

           Syukur alhamdulillah. Akhirnya Achik Niza diberi kesempatan untuk membuat coretan sebagai pembuka tirai 2013, walaupun sekarang sudahpun pertengahan Mac. Telah beberapa kali Achik Niza cuba mencari masa untuk  menulis, tapi kali ni baru terasa ada kelapangan masa.

          Sejak Disember lagi Achik Niza mendapat tempahan tanda nama bersulam sama ada  secara pukal atau orang peseorangan. Ada pelanggan lama yang setia dan alhamdulillah ada juga pelanggan yang baru. Email, wassup dan sistem perbankan secara atas talian membuatkan tempahan dan urusan menjadi senang dan cepat.

         Lega sangat kerana semua siap mengikut yang dirancang. Syukur juga kerana ada pembantu yang setia menolong menyiapkan beribu-ribu kepingan tanda nama bersulam. Semua ni berlaku dengan izinNya. 

        Projek lain dah sedia beratur. Sudah ada orang bertanyakan sampel hadiah hari guru, tempahan sejadah dan telekung untuk  menyambut ramadhan, serkup kepala, kotak pensil dan macam-macam lagi. Alhamdulillah rezeki semuanya tu. 

        Kain-kain line kuning untuk tanda nama bolehlah disimpan dalam rak. Giliran kain lain pulak untuk diproses. Semoga kali ni juga semua tempahan siap seperti yang dirancang. Amiinn.



Sekian.
Wassallam
~Achik Niza~
www.wasap.my/60124626509

Thursday, 9 November 2017

Kuatkan Semangat

Entri 18

Teks ;:Aniza Ismail
Foto : Aniza Ismail
email : pnanizaismail@gmail.com
fb : ttps://www.facebook.com/aniza.ismail
fb Page : https://www.facebook.com/AriessaEmbroideryCraft/



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

          Selamat bertemu semula. Kali terakhir menulis blog ni adalah pada 8 Mac 2016. Sudah 1 tahun 8 bulan blog ini terbiar dan bersawang. Alhamdulillah kali ini Allah telah beri kekuatan pada diri ini untuk berkarya dan berkongsi maklumat di sini.

        Masa sangat cepat berlalu. Diri sudah dimakan usia. Kalau sebelum ini kak Niza menjadi bahasa diri di sini, kali ini selari dengan pertambahan usia, Achik Niza lebih sesuai dijadikan sebagai pengganti diri.

        Selama ini Achik Niza tidak aktif berblog kerana kekangan waktu dengan tugas hakiki dan tugas fitrah sebagai seorang ibu dan isteri serta menyiapakan tempahan sulaman. Tahun lepas 3 anak-anak Achik Niza menghadapi peperiksan besar iaitu UPSR, PT3 dan SPM. Sebagai seorang ibu, dengan masa yang agak terhad kerana bekerja, sudah semestinya cuba meluangkan baki masa yang ada untuk memberi sokongan moral dan menemani anak mengulangkaji.

     Alhamdulillah semuanya telah dilalui. Mulai Julai tahun  ini Achik Niza  menjahit dan menyulam sepenuh masa. Banyak perkara tentang sulaman yang ingin Achik Niza kongsikan berdasarkan pengalaman yang tak seberapa ini. 

    Selain daripada faktor masa, Achik Niza mengambil keputusan untuk menyambung penulisan di blog ini kerana Achik Niza sudah menemui fokus diri.  Menjahit, membuat roti, kek dan biskut adalah hobi yang sangat diminati. Semua aktiviti tersebut hendak dibuat sehinggakan hilang fokus yang sebenar. 

        Ada beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini yang menyebabkan Achik Niza sudah menjumpai fokus. Namun begitu, sekali sekala masih lagi berperang dengan diri sendiri supaya sentiasa tidak lari daripada fokus. Sentiasa tetapkan matlamat dan ingatkan diri sendiri supaya tidak tergelincir dan hilang fokus.

     InsyaAllah dalam entri berikutnya Achik Niza akan ceritakan pengalaman yang menjadikan penentu fokus terhadap bidang sulaman dan jahitan kreatif.

        Semoga Achik Niza diberikan kekuatan oleh Allah untuk istiqamah dengan fokus dan penulisan blog. Aammiiinn.

        Semoga kita bersua lagi dalam entri seterusnya.


Sekian,
Wasalam
~Achik Niza ~




Friday, 4 March 2016

Selamat Bersua Kembali

Entri 15
Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail




Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Semoga semua pembaca berada dalam ketenangan.  Ini entri pertama Kak Niza bagi tahun 2016. Cepatnya masa berlalu. Sedar tak sedar sudahpun masuk ke bulan Mac.

 Kak Niza masih dengan aktiviti yang sama. Rezeki tempahan tanda nama masih tak putus-putus walaupun sudah masuk ke bulan Mac. 
Alhamdulillah. 

Hari ini, hasil produk agak merosot kerana salah satu mesin sulam Kak Niza telah 'sakit'. Mesih sudah tidak boleh beroperasi langsung. Agaknya dia sudah kepenatan bekerja siang dan malam selama ini. Mudah-mudahan sakitnya tak kronik dan masih boleh diubati.


Dua gandingan hebat, Janome dan Brother. Kalau ada pembaca yang mempunyai bajet yang lebih, Kak Niza cadangkan beli mesin Brother model V3 berbanding dengan model Brother NV1500 macam Kak Niza punya (yang sebelah kanan tu)

Mesin Brother NV1500 tu skrinnya hitam putih. Rasa tak puas mata memandang berbanding melihat skrin yang berwarna. Para pembaca boleh bandingkan daripada gambar di atas. Mesin Janome (sebelah kiri) mempunyai skrin berwarna manakala mesin Brother(sebelah kanan) mempunyai skrin hitam putih. Mestilah yang berwarna lebih memudahkan kerja kita melihat draf kerja kita.

Kita tidak perlu mengikut cadangan warna pada skrin mesin jahit. Kita boleh tukarkan warna sesuka hati mengikut kreativiti dan citarasa kita sendiri. 

Semoga perkongian ini memberi sedikit manfaat kepada semua pembaca.

Jumpa lagi di lain entri.


Sekian.

Wassalam.

















Monday, 21 December 2015

Kain Line Kuning

Entri 14

Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua rakan pembaca dipanjangkan umur dalam keberkatan dan rahmat Allah s.w.t.

Alhamdulillah, kain line kuning telah siap sedia untuk diproses jadi nametag. Kain ni dibeli kat pekan lama Ipoh. Kalau ada kawan-kawan yang baru pertama kali nak jahit nametag tu bolehlah beli kain kat kedai kain Mei Hua Textile Sdn Bhd. Kedainya dekat dengan kedai emas Ng Kamarudin. Kedai ini menghadap jalan besar pekan lama.

Beli kain ni kena GST. Sila bawak duit lebih untuk GST ye. Harganya RM5 semeter dan perlu ditambah dengan GST sebanyak 6%. Sejak Kak Niza menjalankan bisnes tanda nama ni, kedai inilah yang menjadi tempat Kak Niza memborong kain line kuning tersebut. Layanan juga baik. 



Kain line kuning

Nama kain diambil sempena line kuning yang terdapat pada kiang tersebut. Para pembaca boleh nampak dengan jelas line tersebut pada foto di atas.

Cukup dulu buat kali ini kerana Kak Niza nak menyambung tugas menjahit tanda nama pelak. Jumpa lagi di lain entri.


Sekian.

Wassalam.


Thursday, 10 December 2015

Setting Nama Name Tag

Entri 12

Teks; Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail


Assalamualaikumdan salam sejahtera.

Apa khabar semua rakan? Semoga semua sihat sejahtera. 



Semoga semua berada dalam rahmat Allah s.w.t.

     Rutin semasa cuti akhir tahun dah bermula. Operasi membuat name tag sudah bermula. Alhamdulillah kerana Allah mencampakkan kepercayaan kepada para pelanggan baru dan lama untuk menempah name tag dari Kak Niza.



     Pagi ni, proses setting nama sebelum dijahit. Sotfware Embird banyak membantu Kak Niza membuat setting dengan cepat. Hasil jahitan juga lebih kemas dan cantik apabila dilakukan 'edit' menggunakan software. Format file untk Janome ialah JEF manakala format file untuk Brother ialah PES. Oppppsss...saya tak jual software ye. . smile emoticon Sekadar perkongsian.





     Hari ini, mesin Janome akan bergandingan dengan mesin Brother untuk memaksimumkan pengeluaran. Semoga dipermudahkan Allah urusan pada hari ini.


Tempahan dibuka kepada sesiapa sahaja.
012-4626509
Sekian. Sehingga bertemu di lain entri.
Wassalam



Thursday, 3 December 2015

Kek Cheese Gebu Gebas

Entri 8

Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Semoga rakan pembaca tabah menghadapi dugaan dan ujian daripadaNya.

     Malam tadi  Kak Niza mahu membuat eksperimen resepi daripada Pn. Azlina Ina. Kak Niza memang terliur melihat kek-kek beliau yang begitu gebu enak. Terima kasih kepada beliau kerana sudi berkongsi ilmu. Semoga rezeki beliau semakin murah. Para pembaca boleh tengok fb beliau. Banyak resepi kek jualannya di kongsi tanpa rahsia. Ramai yang dah cuba dan hasilnya memang menjadi, dengan izin Allah jua.

     Kek perisa vanilla ini mempunyai berat 1 kg apabila disalut dengan cream cheese dan dihiasi dengan parutan cheddar cheese. Kak Niza mengguna cream cheese jenama Tatura dan cheddar cheese jenama Bega yang dibeli daripada pasaraya Mydin.


       Dalam mangkuk adalah cheddar cheese yang telah diparut menggunakan pemarut seperti dalam gambar di atas. Boleh juga disimpah sekejap parutan cheese ke dalam peti ais supaya  senang untuk ditabur di atas kek. Cara yang lain ialah terus memarut cheddar cheese di atas kek yang telah disalut cream cheese.


     Kali ini, Kak Niza  kurangkan kecairan cream cheese kerana tidak mahu ia agak meleleh. Terpulang kepada citarasa masing-masing, Hanya tambahkan susu cair sekiranya inginkan cream cheese yang agak meleleh. Kak Niza juga  hanya menggunakan 1/4 buku cheddar cheese kerana anak-anak tidak menggemari rasa cheese yang agak muak.

     Memang seronok melihat anak-anak makan kek air tangan sendiri  :). Di sini Kak Niza komgsikan resepi daripada fb Azlina Ina. Kredit kepada beliau.

Kek Cheese Leleh
Resepi : Azlina Ina

Bahan-bahan Kek
5 biji telur (Kak Niza guna telur B)
1 cawan gula kastor
1 sudu besar ovalate
1 sudu kecil serbuk vanila/esen vanila
cairkan butter dan sukat 5 sudu besar  atau 1/4 cawan
1 1/2 cawan tepung 
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
 5 sudu besar susu cair full cream atau susu cair
Cara membuatnya
1. Putar telur, gula kastor, ovalate dan esen vanila sampai kembang gebu.
2. Ayakkan tepung, soda bikarbonate dan serbuk penaik.
3. Masukkan  bahan ayak tadi sedikit demi sedikit  ke dalam adunan telur. Perlahankan mixer. Putar sebati.

4. M
asukkn susu cair  atau susu full cream. Putar lagi selama 2 minit. Matikan mixer.
5. Masukkn  butter cair atau minyak. Guna kaedah kaup balik sahaja.

Sekarang, oleskan loyang dengan minyak atau mentega.  Guna loyang 8 inci..
Lapikkan loyang dengan baking paper. Kalau tak ada baking paper, boleh guna kertas A4. Jangan risau, kak Niza  memang selalu guna kertas A4 putih saja. Potong bentuk bulat ye.

Masuk adunan dalam loyang.
Lapik atau bungkus  penutup kukusan dengan tuala. Boleh juga tutup permukaan loyang  dengan plastik biasa dan kukus selama 30 minit atas  api sederhana

Tips:  kalau kukus lebih masa, tengah-tengah kek akan mendap. Penting ni ye.

Apabila kek sudah masak, terus tebalikkan  kek di atas redai. Apabila dah suam keluarkan  loyang. Langkah ini untuk mengelakkan kek jadi mendap dan kecut.

Topping 
1/4 cawan whipping cream atau susu cair
1 tiub tartura cheese 250g
1 cawan susu pekat



1. Putar sebati semua bahan.
2. Kalau nak dapatkan leleh yang lebih,  boleh tambahkan susu cair atau whipping cream.
3. Kalau suka aduanan yang  pekat, sukatan ini sesuai
4. Tuang pada kek dan parutkan cheedar cheese.  Saya  guna jenama Beqa. Dah siap.


Selamat mancuba!


Sekian dulu entri kali ini.


Semoga bertemu di lain masa.


Wassalam.




Monday, 23 November 2015

Adunan Kek Coklat Disirami Kasih Sayang

Entri 7

Teks : Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Semoga para sahabat berada dalam lindungan Allah.

       Alhamdulillah, dengan izin Allah, dalam kesibukan tugasan rasmi dapat juga Kak Niza menyiapkan tempahan kek coklat moist daripada rakan sekerja. Terima kasih kerana sudah beberapa kali memberi kepercayaan kepada Kak Niza.






       Kali ini, berat kek yang sudah siap disiram topping ialah 1.5 kg. Kak Niza  manggunakan coklat urai sebagai hiasan. Kek coklat ni Kak Niza kukus kerana hasilnya lebih gebu berbanding jika dibakar. Selain itu, kek juga lebih lembab dan sangat enak. Jika para pembaca mengukus kek, elokklah tudung periuk dibalut dengan kain atau tutupkan loyang dengan plastik. Ini untuk mengelakkan wap air daripada jatuh ke atas permukaan kek. Tips yang mudah dan berguna. Cuba lah.

Selamat bereskperimen di dapur :)

Sehingga bertemu di lain entri.
.
Sekian

Wassalam.


Cara Menyiapkan Filling (Inti) Tart

Entri 6

Teks ; Aniza Ismail
Foto : Aniza Ismail

Assalamulaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua rakan pembaca sentiasa dilindungi Allah daripada segala bencana.


   Entri kali ini adalah sambungan daripada entri Kulit Tart. Mungkin rakan pembaca sekalian sudah menyediakan berbalang-balang kulit tart. Tinggal lagi proses untuk membuat intinya sahaja. Inti tart boleh pelbagaikan mengikut citarasa dan kreativiti rakan semua.


     Pelbagai perisa jem boleh digunakan seperti jem strawberry, blueberry, epal, orange, nenas, buahan campuran atau sebarang perisa jem yang berda di pasaran. Jem boleh dibeli daripada kedai bahan bakeri, pasar raya atau kedai runcit. Jem yang saya gunakan adalah jem yang teksturnya seperti gel yang lembut. Jem begitu menjadi pilihan kerana ia lebih senang untuk keluar semasa proses piping dilakukan.

     Selain daripada itu,boleh juga meletakkan serunding ikan, daging atau ayam sebagai inti. Terdapat juga tart diisi dengan aduan kek untuk menjadikan kek dalam pastri.. Jika pembaca gemar memakan buah-buahan segar, boleh juga isikan kulit tart dengan inti kastard dan menghiasnya dengan pelbagai buahan segar seperti kiwi,strawberry, anggur dan pelbagai buahan lagi. Kemuadian jangan lupa untuk menyapu jem aprikot pada buahan-buaha tersebut untuk kelihatan berkilat dan menyelerakan..
   
   Saya masih lagi menggunakan resepi daripada Pn. Azita Zain. Proses penyediaanya senang dan hasilnya sangat memuaskan hati. Cuma kali ini saya menggunakan inti jem strawberry.

    Resepi: Pn.Azita Zain
    Foto ; Aniza Ismail

    Blueberry Filling
    250 gm cream cheese (saya guna jenama Tatura)  
    50 gm gula kastor
    1 biji telur bersaiz B
    1/2 sudu teh esen vanila (saya guna 1 sudu teh atau 1 penutup botol esen vanila)

   1.  Putar cream cheese, gula dan esen vanila sehingga berkrim. Gunakan cream cheese setelah 20-30 minit dikeluarkan daripada peti ais.Jangan biarkan cream cheese mencapai suhu bilik.Saya menggunakan mixer dengan kelajuan perlahan dan dinaikkan tahap kelajuannya sedikit demi sedikit apabila campuran mula lembut dan berkrim.
Potong cream cheese supaya senang untuk diputar
Cream cheese dan gula yang telag diputa



filling guna sebiji telur

   2. Masukkan telur dan esen vanila. Putar lagi sebati dan kental. Siap!
TIPS: UNTUK MENGHASILKAN CHEESE TART YANG MONTOK DAN MEMBUKIT,GUNA HANYA 3 SUDU BESAR TELUR YANG TELAH DIKOCOK TERLEBIH DAHULU. TENGOK PERBEZAAN PADA GAMBAR YE

 filling guna 3 sudu besar telur 



   3. Asingkan sedikit cream cheese untuk proses membuat corak. Titiskan sedikit pewarna makanan. Biasanya saya menggunakan pewarna mengikut perisa jem. Sebagai contoh, pewarna merah untuk perisa strawberry, pewarna biru  untuk perisa blueberry dan pewarna hijau untuk perisa epal, Tujuannya adalah untuk memudahkan saya mengenalpasti jenis-jenis perisa tart.


   5. Masukkan lebihan adunan cheese ke dalam beg piping. Boleh juga gunakan sebarang beg plastik biasa jika tiada beg piping. Untuk kali ini, saya gunakan beg piping untuk mengisi aduanan cheese. Bagi jem pula,saya hanya menggunakan beg plastik biasa. Guna satu buhagian bucu sahaja. Kemudian ikat dengan getah pengikat. Guntingkan hujung beg piping.
Jem dan cream cheese

   6. Isikan setiap kulit tart dengan jem. Picit plastik atau beg piping yang mengandungi jem tadi. Kemudian, isikan adunan cheese di atas jem tadi. Picit beg piping dari tengah sehungga adunan cheese sama aras dengan tepi kulit tart atau membukit jika suka.



  7.  Sekarang tiba masa untuk membuat corak lorekan. dengan menggunakan kaedah piping tadi,    paipkan sedikit adunan cheese berwarna ke atas permukaan tart. Pastuikan bucu piping tadi digunting sedikit sahaja supaya lorekkan menjadi cantik. Proses melorek perlu dibuat semasa permukaan cheese masih lembut. Permukaan cheese akan mula mengering. Jika proses lorekkan dibuat pada permukaan cheese yang kering,hasilnya kurang memuaskan.

8.   Bakar 5- 10 minit. Jika permukaan cheese tidak melekat semasa disentuh, maka cheese tart sudah masak dan boleh dikeluarkan daripada oven,


      Cheese tart sudah sedia untuk dihantar kepada tuannya.

Selamat mencuba resepi ni ye.

Sehingga bertemu di lain entri.

Wassalam.

Friday, 9 October 2015

Sulaman Tanda Nama

Entri 5

Teks : Aniza Ismail
Foto : Aniza Ismail



Assalamulaikum dan salam sejahtera.

Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan Allah.

    Kali ini Kak Niza ingin berkongsi tentang tempahan hari ini. Tengah hari tadi, anak  Kak Niza membawa tempahan tanda nama daripada sekolahnya. Walaupun sudah penghujung tahun, masih ada lagi pelajar yang membuat tempahan tanda nama.

    Anak Kak Niza  merupakan pengawas koperasi sekolahnya. Semua tempahan tanda nama akan melalui koperasi sekolah. Jadi, guru koperasi akan membuat tempahan melalui anak Kak Niza. Tempahan kali ini hanya untuk seorang pelajar tingkatan 3. Rupa-rupanya disebabkan pelajar tersebut akan menduduki peperiksaaaan PT3 minggu depan, barulah pelajar tersebut mahu menggantikan tanda nama lama dengan yang baru.

    Biasanya, setiap tingkatan menggunakan tanda nama yang berbeza dari segi warna. Keadaan ini akan memudahkan guru untuk mengenalpasti pelajar tersebut berada dalam tingkatan tertentu. Bagi sekolah anak Kak Niza, pelajar tingkatan 3 menggunakan tanda nama berwarna biru dan disulam namanya dengan benang berwarna putih. 

    Kak Niza menggunakan kain yang dipanggil 'kain line kuning". Kak Niza tidak pasti nama sebenar kain tersebut. Kain ini memang sering digunakan oleh ramai tukang jahit untuk menyulam tanda nama. Biasanya, di Pekan Lama Ipoh, harga kain ini antara RM 5.00 - RM 5.50 semeter. Tetapi sejak negara kita mengenakan GST dan dengan nilai ringgit Malaysia sekarang, Kak Nizatidak pasti harga terkini. Benang sulam yang sering Kak Niza gunakan pula ialah benang Senorita. 

       Senang saja menyulam tanda nama menggunakan mesin sulam berkomputer. Kak Niza  menggunakan mesin sulam  model MC 11000 dari jenama Janome. Berikut adalah langkah-langkah menyulam tanda nama:

1.  Taipkan nama ke dalam frame tanda nama. Terdapat dua pilihan. Pilihan petama ialah menaip terus menggunakan huruf dan frame yang terdapat dalam mesin jahit. Pilihan kedua ialah menggunakan software sulaman seperti Embird, Icliqq atau PE Design. Tanda nama yang sudah dibuat dalam laptop perlu dipindahkan ke mesin jahit.

2.   Pasangkan kain pada ram. Pastikan kain ditarik tegang. Lapikkan sebelah bawah ram dengan kertas gam. Tekan butang "Start" dan mesin akan menyulam sehingga selesai. Senang kan!

3.   Keluarkan ram daripada pemegang ram.

4.   Proses memotong lebihan benang dan menggunting setiap keping tanda nama. Proses ini agak memakan masa. Kak Niza  menggunakan gunting, penyepit dan penetas untuk proses ini. Mesin jahit Kak Niza tidak dapat membaca arahan pemotongan benang daripada software. Jadi kena buat secara manual. Mesin yang lebih canggih seperti mesin Janome MB Craft boleh memahami arahan pemotongan benang.

5.  Tepi kepingan tanda nama agak tidak kemas kerana terdapat juraian benang daripada kain yang dipotong. Jadi, setiap keping tanda nama akan dibakar tepinya dengan menggunakan besi pemanas.

6.   Satu set tanda nama terdiri daripada 3 keping tanda nama.

7.  Tanda nama yang telah siap dimasukkan ke dalam plastik untuk di hantar kepada koperasi sekolah.


    Diharap perkongsian ini dapat membantu rakan pembaca yang masih kurang yakin untuk mengendalikan mesin jahit berkomputer.  Jika ada kesempatan, Kak Niza  juga ingin berkongsi pengalaman Kak Niza mendapat pendapatan sampingan melalui tempahan tanda nama dan beberapa hasil sulaman yang lain. Insya Allah.

      Semoga bertemu lain di lain masa.


Sekian.

Wassalam.





Thursday, 8 October 2015

Resepi Kulit Tart

Entri 4

Teks : Aniza Ismail
Foto : Aniza Ismail

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua rakan pembaca berada dalam keadaan sihat dan ceria.

   Kali ini saya ingin berkongsi resepi kulit tart yang rangup dan sedap. Pada masa sekarang ini ramai orang suka berkongsi resepi. Mungkin sudah ramai orang telah sedar bahawa semakin banyak kita berkongsi ilmu, semakin murah rezeki kita. Alhmadulillah.

   Saya sendiri pun menggunakan resepi yang diambil daripada salah seorang blogger masakan iaitu Pn. Azlita bt Abdul Aziz dari masam manis. Pn. Azlita berkongsgi resepi yang diambil daripada blogger Pn. Azita Zain. Berikut adalah resepi beliau. Sesiapa yang baru pertama kali mahu cuba membuat kulit tart pasti akan tersenyum lebar apabila melihat hasil daripada resepi ini. Ikut sukatan dan cara-cara membuatnya tanpa sebarang perubahan. Cuma saya ada sedikit tambahan dari segi penerangan.


Resepi Asal: Pn. Azita Zain
Dikongsi oleh : Pn. Azlita bt Abdul Aziz
Foto : Aniza Ismail

Kulit Tart
Bahan-bahan

170 gm marjerin atau butter (saya guna Buttercup)
50 gm gula aising
1 biji telur C
(jika guna telur B, kurangkan sedikit putih telur untuk mengelakkan kulit tart menjadi keras)
290 gm tepung gandum
1 sudu kescil esen vanila

Cara-cara membuatnya


1. Ayakkan gula ising ke dalam mangkuk yang berisi margerin atau butter (Rajah 1). Selalunya gula aising agak berketul-ketul. Rajah 2 menunjukkan ketulan gula ising selepas di ayak.. Tekan ketulan gula ising dengan sudu atau senduk untuk menghancurkannya. Ayak sehingga habis.

2. Putar mentega atau butter dengan senduk kayu atau spatula. Putar hingga sebati sahaja. Jangan putar terlalu lama. Maaf, fotonya tercicir.

3.  Masukkan esen vanila dan telur (Rajah 3) . Putar lagi sehigga sebati (Rajah 4)

4.  Masukkan tepung sedikit demi sedikit (Rajah 5). Uli sehingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh (Rajah 6).

5.  Masukkan doh ke dalam plastik dan simpan dalam peti ais beberapa jam atau semalaman. Kadang-kadang saya abaikan langkah ini. Terus ke langkah nombor 6. Hasilnya tidak mengecewakan. 

6. Ambil sedikit doh dan tekan ke dalam acuan tart. Jangan terlalu tebal. Boleh juga dicanaikan doh terlebih dahulu untuk dapatkan ketebalan yang seragam. Cucuk dengan garfu sebelum dibakar. Saya menggunakan acuan tart bersaiz 4.5 cm.

7.  Terlebih dahulu, panaskan oven selama 15 minit. Suhu 170 darjah Celcius. Ikut kepanasan oven masing-masing. Saya menggunakan api atas dan bawah.

8.  Bakar kulit tart selama 20-25 minit atau hingga masak.

9.  Apabila dah sejuk, terbalikkan acuan untuk mengeluarkan kulit tart. Pastikan kulit tart betul-betul sejuk sebelum di simpan dalam balang yang kedap udara. 

   Biasanya saya akan menyediakan kulit tart terlebih dahulu. Apabila ada kelapangan masa, barulah dibuat fillingnya. Senang dan menjimatkan masa.

  Bagi penyediaan filling pula,saya  akan tulis pada masa akan datang.

 Selamat mencuba!

Sehingga bertemu lagi di lain masa.

Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...