Sunday, 27 September 2015

Secretleaf Mesra Wudhuk dan Solat.

Entri 3

Teks; Aniza Ismail
Foto: Google Image


Assalamualaikum dan salam sejahatera.

Semoga semua rakan berada dalam rahmat Allah.

   Alhamdulillah, pada hari Jumaaat lepas, posmen telah datang menghantar bungkusan pos laju. Saya memang tertunggu-tunggu bunyi motorsikal posman. Maklumlah sejak menggunakan produk keluaran Secretleaf, saya sudah tidak menggunakan  produk lain.

   Faktor tiada bahan kimia, lulus halal JAKIM dan mesra wudhuk serta solat menyebabkan saya guna produk tersebut. Kesan penggunaanya juga amat positif. Ada kawan saya yang mencuba set mini dan sangat gembira kerana jeragatnya semakin berkurangan.Saya tumpang gembira bagi pihak beliau juga. Alhamdulillah kerana dapat menolong mencari penyelesaian kepada masalah jeragat beliau.

   Sekian dulu perkongsian hari ini. Jika ada kelapangan masa, saya akan berkongsi pula jenis-jenis rangkaian produk Secretleaf serta kebaikannya. Insya Allah.

   Sehingga bertemu lagi dalam entri seterusnya.

Sekian.





Thursday, 24 September 2015

Kulit Tart

Entri 2

Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail




 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

   Diharapkan semua pembaca berada dalam rahmat Allah. Cuti sekolah tinggal lagi dua hari lagi. Anak-anak perlu digerakkan untuk menyiapkan semua kerja sekolah yang tetangguh dan menggosok baju sekolah. Kasut mestilah dikapur supaya nampak putih dan bersih.

   Untuk lebih mesra, panggilan Kak Niza digunakan sebagai pengganti diri ye. Waktu cuti selalunya Kak Niza suka memenuhi permintaan  selera anak-anak. Salah satu makanan kegemaran mereka ialah cheese tart sama ada strawberry cheese tart atau blueberry cheese tart. Harga pasaran cheese tart  saiz 4.5 cm di tempat tinggal Kak Niza ialah RM0.70 .RM0.80 sebiji. Kalau ditambah dengan Nutella sehingga RM1.10 sebiji, Oleh sebab anak-anak sangat suka akan cheese tart, mereka akan makan dengan banyaknya. Jadi, untuk lebih menjimatkan wang, lebih baik Kak Niza buatkan untuk mereka makan sepuas-puasnya.

   Ini gambar kulit tart yang belum  dibakar. Oleh kerana proses pembuatannya agak memakan masa, biasanya Kak Niza akan siapkan kulit tart dulu dan keesokkan harinya barulah Kak Niza membuat fillingnya. Resepi kulit tart ni memang bagus. Sangat sedap dimakan begitu sahaja. Dalam entri akan datang, Kak Niza akan berkongsi resepi dan  cara-cara membuat kulit tart yang sedap, wangi dan rangup.

   Para pembaca juga boleh menjana pendapatan dengan hanya menjual kulit tart. Ini kerana ramai orang agak tiada masa untuk membuat kulit . Jadi mereka membeli kulit tart yang dijual di kedai bakeri dan menjual pula cheese tart yang mereka buat. Agak sedih juga apabila Kak Niza melihat orang Islam membeli kulit tart yang dijual di kedai bakeri bukan Islam dan memang dibuat oleh orang bukan Islam tanpa mengira kehalalan kulit tart tersebut. Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka.

Sehingga jumpa lagi pada masa akan datang.

Sekian.

Wasslam.



   

Saturday, 30 May 2015

Salam Pembuka Bicara

Entri 1

Teks: Aniza Ismail



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

   Salam perkenalan dan salam pembuka bicara kepada semua. Setelah sekian lama bertangguh-tangguh untuk menulis entri pertama, akhirnya Allah memberi kekuatan dan kelapangan waktu untuk saya menulis sedikit pengenalan diri sebagai mukaddimah. Syukur alhamdulillah yang tidak terhingga.

   Nama saya ialah Aniza binti Ismail. Saya merupakan anak jati Terangganu dan telah bertemu jodoh di Kedah dan sekarang menetap di Perak. Saya mendapat pendidikan rendah dan menengah di Terengganu. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat matrikulasi di MRSM Kulim, Kedah. Setahun berada di Kedah, saya ke kampus induk USM di Pulau Pinang bagi menyambung pengajian tahun kedua matrikulasi dan seterusnya hingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

   3.7.1995 merupakan tarikh saya melapor diri sebagai tenaga pengajar di Pusat Matrukulasi Sintok, Kedah. Saya mengajar subjek Matematik. Ditakdirkan Allah saya bertemu jodoh dengan rakan sekerja dan pada tahun 1998 saya berpindah ke Perak dan menetap di sini hingga sekarang.

   Di Perak, saya masih lagi mengajar subjek kegemaran saya iaitu Matematik dan Matematik tambahan. Mengajar di sekolah berasrama penuh memang banyak cabaran. Pelajar-pelajar terpilih memang pandai dan senang faham. Cabarannya ialah memastikan keputusan akademik sentiasa cemerlang. Target keputusan pelajar mesti 'A' . Jika pelajar tidak mendapat 'A' ibarat pelajar tersebut sudah mendapat gred "GAGAL'. Bersiap-sedialah untuk disoal siasat oleh tuan pengetua dan ibu bapa. Semua jari seolah-olah menuding ke arah kami sebagai guru.  Memang sangat stress.  Banyak program kecemerlangan perlu dijalankan siang dan malam. Pelajar tinggal di asrama, jadi tiada masalah untuk menghadiri kelas malam. Kelas hujung minggu dan kelas masa cuti sekolah juga di adakan. Tiga orang anak saya masih kecil pada masa itu. Kadang-kadang hampir maghrib baru sampai di rumah. Hati saya sangat sayu dan sedih apabila melihat mereka terjerit-jerit kegembiraan apabila saya sampai di rumah.  

   Setelah 6 tahun 6 bulan berkhidmat di situ, setelah dua kali membuat permohonan akhirnya permohonan bertukar saya diluluskan. Alhamdulillah. Mengajar di sekolah harian lain pula cabarannya. Pelajar kurang motivasi untuk belajar. Terlalu banyak keseronokan di dunia luar. Pada awalnya saya memang agak terkejut dengan keadaan ini. Inilah cabaran baru bagi saya. Jika dulu saya perlu pastikan pelajar saya mendapat 'A' tapi sekarang saya perlu pastikan semua pelajar saya LULUS sahaja. Jika pelajar boleh LULUS bermakna satu kejayaan besar bagi saya. Cuba bayangkan masih ada pelajar yang tidak menghafal sifir 6 walaupun sudah berada di tingkatan 5. Lebih menyedihkan, mereka tidak berminat untuk membeli kalkulator tetapi sanggup berhabis untuk membeli telefon bimbit. Jadi jika ada pelajar mendapat 'A' bagi Matematik Tambahan, pelajar tersebut memang menjadi sebutan dan contoh sepanjang zaman.

   Tahun ini merupakan tahun ke-20 saya sebagai guru. Bebanan tugasan yang tak pernah reda menyebabkan anak-anak terabai. Pernah disebabkan saya merupakan ketua jawatankuasa pelaksana program, saya terpaksa bawa anak saya yang demam ke sekolah sedangkan doktor (swasta) memberi cuti sakit (bagi pihak anak). Kejamnya saya, tapi saya tiada pilihan pada masa itu. Cukuplah 20 tahun saya berbakti dalam pendidikan. Hidup ini sangat singkat. Saya mahukan masa berharga untuk saya memperbaiki diri saya, menghadiri kelas agama, membetulkan kesilapan diri, menebus kelalaian dalam mendidik anak-anak dan balik kepada fitrah saya sebagai ibu dan isteri serta anak. Saya tidak mahu terikat dengan manusia. Saya mahu bebas menjeguk ibu di kampung tanpa perlu  merayu-rayu cuti saya diluluskan. Alhamdulillah suami dan ibu menyokong keputusan saya.

   Bagi menghilangkan jemu dengan rutin di sekolah, saya suka menjual barangan jahitan kraf yang saya buat seperti keychain, brooch, telekung, beg fabrik, kotak pensil dan bekas tisu. Saya juga mengambil tempahan membuat nametag sulam daripada tadika dan sekolah. 

  Saya juga meminati bidang masakan kek dan pastri. Dorongan utama ialah anak-anak saya. Mereka memang peminat kek dan pastri. Suami saya kurang minat, sekadar merasa dan memberi pendapat saja. Kadang-kadang saya membawa kek yang dibuat untuk dimakan bersama-sama rakan. Akhirnya, saya mendapat tempahan daripada rakan-rakan.

   Disamping itu, saya juga suka berkongsi dengan rakan tentang produk yang saya guna. Produk yang paling mendapat sambutan ialah produk kecantikan diri daripada bahan semulajadi keluaran Secretleaf. Begitu juga dengan Tamarcocoa pengganti Milo. Sambutan memang sangat mengalakkan dan permintaan sangat tinggi. Boleh dikatakan setiap hari saya mendapat tempahan Tamarcocoa. Saya juga akan berkongsi dengan pembaca semua tentang perniagaan yang mudah ini. Insha Allah.

   Saya juga gemar membaca buku dan mengumpul artikel  berkaitan agama, kraf, masakan, jahitan, mengait, motivasi, resepi dan pemasaran. Alhamdulillah, sekarang bacaan juga boleh dibuat menerusi carian di internet.

   Akhir sekali, saya berharap agar sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk menulis 44 entri tugasan. Saya beharap agar dapat membina blog yang menarik, bermaklumat,  memberi manfaat kepada pengunjung dan dapat membuat jaringan yang besar dengan ahli ABDR. Saya ingin menjadikan blog ini sebagai asas kukuh untuk saya bekerja dari rumah  dan bebas hutang. Semoga Pn. Masayu dan rakan-rakan tidak jemu memberi bimbingan dan teguran kepasa saya. Doakan kejayaan buat saya.

Sehingaa bertemu lagi pada masa akan datang.

Sekian.




   
   
   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...