Monday, 23 November 2015

Adunan Kek Coklat Disirami Kasih Sayang

Entri 7

Teks : Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Semoga para sahabat berada dalam lindungan Allah.

       Alhamdulillah, dengan izin Allah, dalam kesibukan tugasan rasmi dapat juga Kak Niza menyiapkan tempahan kek coklat moist daripada rakan sekerja. Terima kasih kerana sudah beberapa kali memberi kepercayaan kepada Kak Niza.






       Kali ini, berat kek yang sudah siap disiram topping ialah 1.5 kg. Kak Niza  manggunakan coklat urai sebagai hiasan. Kek coklat ni Kak Niza kukus kerana hasilnya lebih gebu berbanding jika dibakar. Selain itu, kek juga lebih lembab dan sangat enak. Jika para pembaca mengukus kek, elokklah tudung periuk dibalut dengan kain atau tutupkan loyang dengan plastik. Ini untuk mengelakkan wap air daripada jatuh ke atas permukaan kek. Tips yang mudah dan berguna. Cuba lah.

Selamat bereskperimen di dapur :)

Sehingga bertemu di lain entri.
.
Sekian

Wassalam.


Cara Menyiapkan Filling (Inti) Tart

Entri 6

Teks ; Aniza Ismail
Foto : Aniza Ismail

Assalamulaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua rakan pembaca sentiasa dilindungi Allah daripada segala bencana.


   Entri kali ini adalah sambungan daripada entri Kulit Tart. Mungkin rakan pembaca sekalian sudah menyediakan berbalang-balang kulit tart. Tinggal lagi proses untuk membuat intinya sahaja. Inti tart boleh pelbagaikan mengikut citarasa dan kreativiti rakan semua.


     Pelbagai perisa jem boleh digunakan seperti jem strawberry, blueberry, epal, orange, nenas, buahan campuran atau sebarang perisa jem yang berda di pasaran. Jem boleh dibeli daripada kedai bahan bakeri, pasar raya atau kedai runcit. Jem yang saya gunakan adalah jem yang teksturnya seperti gel yang lembut. Jem begitu menjadi pilihan kerana ia lebih senang untuk keluar semasa proses piping dilakukan.

     Selain daripada itu,boleh juga meletakkan serunding ikan, daging atau ayam sebagai inti. Terdapat juga tart diisi dengan aduan kek untuk menjadikan kek dalam pastri.. Jika pembaca gemar memakan buah-buahan segar, boleh juga isikan kulit tart dengan inti kastard dan menghiasnya dengan pelbagai buahan segar seperti kiwi,strawberry, anggur dan pelbagai buahan lagi. Kemuadian jangan lupa untuk menyapu jem aprikot pada buahan-buaha tersebut untuk kelihatan berkilat dan menyelerakan..
   
   Saya masih lagi menggunakan resepi daripada Pn. Azita Zain. Proses penyediaanya senang dan hasilnya sangat memuaskan hati. Cuma kali ini saya menggunakan inti jem strawberry.

    Resepi: Pn.Azita Zain
    Foto ; Aniza Ismail

    Blueberry Filling
    250 gm cream cheese (saya guna jenama Tatura)  
    50 gm gula kastor
    1 biji telur bersaiz B
    1/2 sudu teh esen vanila (saya guna 1 sudu teh atau 1 penutup botol esen vanila)

   1.  Putar cream cheese, gula dan esen vanila sehingga berkrim. Gunakan cream cheese setelah 20-30 minit dikeluarkan daripada peti ais.Jangan biarkan cream cheese mencapai suhu bilik.Saya menggunakan mixer dengan kelajuan perlahan dan dinaikkan tahap kelajuannya sedikit demi sedikit apabila campuran mula lembut dan berkrim.
Potong cream cheese supaya senang untuk diputar
Cream cheese dan gula yang telag diputa



filling guna sebiji telur

   2. Masukkan telur dan esen vanila. Putar lagi sebati dan kental. Siap!
TIPS: UNTUK MENGHASILKAN CHEESE TART YANG MONTOK DAN MEMBUKIT,GUNA HANYA 3 SUDU BESAR TELUR YANG TELAH DIKOCOK TERLEBIH DAHULU. TENGOK PERBEZAAN PADA GAMBAR YE

 filling guna 3 sudu besar telur 



   3. Asingkan sedikit cream cheese untuk proses membuat corak. Titiskan sedikit pewarna makanan. Biasanya saya menggunakan pewarna mengikut perisa jem. Sebagai contoh, pewarna merah untuk perisa strawberry, pewarna biru  untuk perisa blueberry dan pewarna hijau untuk perisa epal, Tujuannya adalah untuk memudahkan saya mengenalpasti jenis-jenis perisa tart.


   5. Masukkan lebihan adunan cheese ke dalam beg piping. Boleh juga gunakan sebarang beg plastik biasa jika tiada beg piping. Untuk kali ini, saya gunakan beg piping untuk mengisi aduanan cheese. Bagi jem pula,saya hanya menggunakan beg plastik biasa. Guna satu buhagian bucu sahaja. Kemudian ikat dengan getah pengikat. Guntingkan hujung beg piping.
Jem dan cream cheese

   6. Isikan setiap kulit tart dengan jem. Picit plastik atau beg piping yang mengandungi jem tadi. Kemudian, isikan adunan cheese di atas jem tadi. Picit beg piping dari tengah sehungga adunan cheese sama aras dengan tepi kulit tart atau membukit jika suka.



  7.  Sekarang tiba masa untuk membuat corak lorekan. dengan menggunakan kaedah piping tadi,    paipkan sedikit adunan cheese berwarna ke atas permukaan tart. Pastuikan bucu piping tadi digunting sedikit sahaja supaya lorekkan menjadi cantik. Proses melorek perlu dibuat semasa permukaan cheese masih lembut. Permukaan cheese akan mula mengering. Jika proses lorekkan dibuat pada permukaan cheese yang kering,hasilnya kurang memuaskan.

8.   Bakar 5- 10 minit. Jika permukaan cheese tidak melekat semasa disentuh, maka cheese tart sudah masak dan boleh dikeluarkan daripada oven,


      Cheese tart sudah sedia untuk dihantar kepada tuannya.

Selamat mencuba resepi ni ye.

Sehingga bertemu di lain entri.

Wassalam.

Friday, 9 October 2015

Sulaman Tanda Nama

Entri 5

Teks : Aniza Ismail
Foto : Aniza Ismail



Assalamulaikum dan salam sejahtera.

Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan Allah.

    Kali ini Kak Niza ingin berkongsi tentang tempahan hari ini. Tengah hari tadi, anak  Kak Niza membawa tempahan tanda nama daripada sekolahnya. Walaupun sudah penghujung tahun, masih ada lagi pelajar yang membuat tempahan tanda nama.

    Anak Kak Niza  merupakan pengawas koperasi sekolahnya. Semua tempahan tanda nama akan melalui koperasi sekolah. Jadi, guru koperasi akan membuat tempahan melalui anak Kak Niza. Tempahan kali ini hanya untuk seorang pelajar tingkatan 3. Rupa-rupanya disebabkan pelajar tersebut akan menduduki peperiksaaaan PT3 minggu depan, barulah pelajar tersebut mahu menggantikan tanda nama lama dengan yang baru.

    Biasanya, setiap tingkatan menggunakan tanda nama yang berbeza dari segi warna. Keadaan ini akan memudahkan guru untuk mengenalpasti pelajar tersebut berada dalam tingkatan tertentu. Bagi sekolah anak Kak Niza, pelajar tingkatan 3 menggunakan tanda nama berwarna biru dan disulam namanya dengan benang berwarna putih. 

    Kak Niza menggunakan kain yang dipanggil 'kain line kuning". Kak Niza tidak pasti nama sebenar kain tersebut. Kain ini memang sering digunakan oleh ramai tukang jahit untuk menyulam tanda nama. Biasanya, di Pekan Lama Ipoh, harga kain ini antara RM 5.00 - RM 5.50 semeter. Tetapi sejak negara kita mengenakan GST dan dengan nilai ringgit Malaysia sekarang, Kak Nizatidak pasti harga terkini. Benang sulam yang sering Kak Niza gunakan pula ialah benang Senorita. 

       Senang saja menyulam tanda nama menggunakan mesin sulam berkomputer. Kak Niza  menggunakan mesin sulam  model MC 11000 dari jenama Janome. Berikut adalah langkah-langkah menyulam tanda nama:

1.  Taipkan nama ke dalam frame tanda nama. Terdapat dua pilihan. Pilihan petama ialah menaip terus menggunakan huruf dan frame yang terdapat dalam mesin jahit. Pilihan kedua ialah menggunakan software sulaman seperti Embird, Icliqq atau PE Design. Tanda nama yang sudah dibuat dalam laptop perlu dipindahkan ke mesin jahit.

2.   Pasangkan kain pada ram. Pastikan kain ditarik tegang. Lapikkan sebelah bawah ram dengan kertas gam. Tekan butang "Start" dan mesin akan menyulam sehingga selesai. Senang kan!

3.   Keluarkan ram daripada pemegang ram.

4.   Proses memotong lebihan benang dan menggunting setiap keping tanda nama. Proses ini agak memakan masa. Kak Niza  menggunakan gunting, penyepit dan penetas untuk proses ini. Mesin jahit Kak Niza tidak dapat membaca arahan pemotongan benang daripada software. Jadi kena buat secara manual. Mesin yang lebih canggih seperti mesin Janome MB Craft boleh memahami arahan pemotongan benang.

5.  Tepi kepingan tanda nama agak tidak kemas kerana terdapat juraian benang daripada kain yang dipotong. Jadi, setiap keping tanda nama akan dibakar tepinya dengan menggunakan besi pemanas.

6.   Satu set tanda nama terdiri daripada 3 keping tanda nama.

7.  Tanda nama yang telah siap dimasukkan ke dalam plastik untuk di hantar kepada koperasi sekolah.


    Diharap perkongsian ini dapat membantu rakan pembaca yang masih kurang yakin untuk mengendalikan mesin jahit berkomputer.  Jika ada kesempatan, Kak Niza  juga ingin berkongsi pengalaman Kak Niza mendapat pendapatan sampingan melalui tempahan tanda nama dan beberapa hasil sulaman yang lain. Insya Allah.

      Semoga bertemu lain di lain masa.


Sekian.

Wassalam.





Thursday, 8 October 2015

Resepi Kulit Tart

Entri 4

Teks : Aniza Ismail
Foto : Aniza Ismail

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua rakan pembaca berada dalam keadaan sihat dan ceria.

   Kali ini saya ingin berkongsi resepi kulit tart yang rangup dan sedap. Pada masa sekarang ini ramai orang suka berkongsi resepi. Mungkin sudah ramai orang telah sedar bahawa semakin banyak kita berkongsi ilmu, semakin murah rezeki kita. Alhmadulillah.

   Saya sendiri pun menggunakan resepi yang diambil daripada salah seorang blogger masakan iaitu Pn. Azlita bt Abdul Aziz dari masam manis. Pn. Azlita berkongsgi resepi yang diambil daripada blogger Pn. Azita Zain. Berikut adalah resepi beliau. Sesiapa yang baru pertama kali mahu cuba membuat kulit tart pasti akan tersenyum lebar apabila melihat hasil daripada resepi ini. Ikut sukatan dan cara-cara membuatnya tanpa sebarang perubahan. Cuma saya ada sedikit tambahan dari segi penerangan.


Resepi Asal: Pn. Azita Zain
Dikongsi oleh : Pn. Azlita bt Abdul Aziz
Foto : Aniza Ismail

Kulit Tart
Bahan-bahan

170 gm marjerin atau butter (saya guna Buttercup)
50 gm gula aising
1 biji telur C
(jika guna telur B, kurangkan sedikit putih telur untuk mengelakkan kulit tart menjadi keras)
290 gm tepung gandum
1 sudu kescil esen vanila

Cara-cara membuatnya


1. Ayakkan gula ising ke dalam mangkuk yang berisi margerin atau butter (Rajah 1). Selalunya gula aising agak berketul-ketul. Rajah 2 menunjukkan ketulan gula ising selepas di ayak.. Tekan ketulan gula ising dengan sudu atau senduk untuk menghancurkannya. Ayak sehingga habis.

2. Putar mentega atau butter dengan senduk kayu atau spatula. Putar hingga sebati sahaja. Jangan putar terlalu lama. Maaf, fotonya tercicir.

3.  Masukkan esen vanila dan telur (Rajah 3) . Putar lagi sehigga sebati (Rajah 4)

4.  Masukkan tepung sedikit demi sedikit (Rajah 5). Uli sehingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh (Rajah 6).

5.  Masukkan doh ke dalam plastik dan simpan dalam peti ais beberapa jam atau semalaman. Kadang-kadang saya abaikan langkah ini. Terus ke langkah nombor 6. Hasilnya tidak mengecewakan. 

6. Ambil sedikit doh dan tekan ke dalam acuan tart. Jangan terlalu tebal. Boleh juga dicanaikan doh terlebih dahulu untuk dapatkan ketebalan yang seragam. Cucuk dengan garfu sebelum dibakar. Saya menggunakan acuan tart bersaiz 4.5 cm.

7.  Terlebih dahulu, panaskan oven selama 15 minit. Suhu 170 darjah Celcius. Ikut kepanasan oven masing-masing. Saya menggunakan api atas dan bawah.

8.  Bakar kulit tart selama 20-25 minit atau hingga masak.

9.  Apabila dah sejuk, terbalikkan acuan untuk mengeluarkan kulit tart. Pastikan kulit tart betul-betul sejuk sebelum di simpan dalam balang yang kedap udara. 

   Biasanya saya akan menyediakan kulit tart terlebih dahulu. Apabila ada kelapangan masa, barulah dibuat fillingnya. Senang dan menjimatkan masa.

  Bagi penyediaan filling pula,saya  akan tulis pada masa akan datang.

 Selamat mencuba!

Sehingga bertemu lagi di lain masa.

Wassalam.

Sunday, 27 September 2015

Secretleaf Mesra Wudhuk dan Solat.

Entri 3

Teks; Aniza Ismail
Foto: Google Image


Assalamualaikum dan salam sejahatera.

Semoga semua rakan berada dalam rahmat Allah.

   Alhamdulillah, pada hari Jumaaat lepas, posmen telah datang menghantar bungkusan pos laju. Saya memang tertunggu-tunggu bunyi motorsikal posman. Maklumlah sejak menggunakan produk keluaran Secretleaf, saya sudah tidak menggunakan  produk lain.

   Faktor tiada bahan kimia, lulus halal JAKIM dan mesra wudhuk serta solat menyebabkan saya guna produk tersebut. Kesan penggunaanya juga amat positif. Ada kawan saya yang mencuba set mini dan sangat gembira kerana jeragatnya semakin berkurangan.Saya tumpang gembira bagi pihak beliau juga. Alhamdulillah kerana dapat menolong mencari penyelesaian kepada masalah jeragat beliau.

   Sekian dulu perkongsian hari ini. Jika ada kelapangan masa, saya akan berkongsi pula jenis-jenis rangkaian produk Secretleaf serta kebaikannya. Insya Allah.

   Sehingga bertemu lagi dalam entri seterusnya.

Sekian.





Thursday, 24 September 2015

Kulit Tart

Entri 2

Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail




 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

   Diharapkan semua pembaca berada dalam rahmat Allah. Cuti sekolah tinggal lagi dua hari lagi. Anak-anak perlu digerakkan untuk menyiapkan semua kerja sekolah yang tetangguh dan menggosok baju sekolah. Kasut mestilah dikapur supaya nampak putih dan bersih.

   Untuk lebih mesra, panggilan Kak Niza digunakan sebagai pengganti diri ye. Waktu cuti selalunya Kak Niza suka memenuhi permintaan  selera anak-anak. Salah satu makanan kegemaran mereka ialah cheese tart sama ada strawberry cheese tart atau blueberry cheese tart. Harga pasaran cheese tart  saiz 4.5 cm di tempat tinggal Kak Niza ialah RM0.70 .RM0.80 sebiji. Kalau ditambah dengan Nutella sehingga RM1.10 sebiji, Oleh sebab anak-anak sangat suka akan cheese tart, mereka akan makan dengan banyaknya. Jadi, untuk lebih menjimatkan wang, lebih baik Kak Niza buatkan untuk mereka makan sepuas-puasnya.

   Ini gambar kulit tart yang belum  dibakar. Oleh kerana proses pembuatannya agak memakan masa, biasanya Kak Niza akan siapkan kulit tart dulu dan keesokkan harinya barulah Kak Niza membuat fillingnya. Resepi kulit tart ni memang bagus. Sangat sedap dimakan begitu sahaja. Dalam entri akan datang, Kak Niza akan berkongsi resepi dan  cara-cara membuat kulit tart yang sedap, wangi dan rangup.

   Para pembaca juga boleh menjana pendapatan dengan hanya menjual kulit tart. Ini kerana ramai orang agak tiada masa untuk membuat kulit . Jadi mereka membeli kulit tart yang dijual di kedai bakeri dan menjual pula cheese tart yang mereka buat. Agak sedih juga apabila Kak Niza melihat orang Islam membeli kulit tart yang dijual di kedai bakeri bukan Islam dan memang dibuat oleh orang bukan Islam tanpa mengira kehalalan kulit tart tersebut. Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka.

Sehingga jumpa lagi pada masa akan datang.

Sekian.

Wasslam.



   

Saturday, 30 May 2015

Salam Pembuka Bicara

Entri 1

Teks: Aniza Ismail



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

   Salam perkenalan dan salam pembuka bicara kepada semua. Setelah sekian lama bertangguh-tangguh untuk menulis entri pertama, akhirnya Allah memberi kekuatan dan kelapangan waktu untuk saya menulis sedikit pengenalan diri sebagai mukaddimah. Syukur alhamdulillah yang tidak terhingga.

   Nama saya ialah Aniza binti Ismail. Saya merupakan anak jati Terangganu dan telah bertemu jodoh di Kedah dan sekarang menetap di Perak. Saya mendapat pendidikan rendah dan menengah di Terengganu. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat matrikulasi di MRSM Kulim, Kedah. Setahun berada di Kedah, saya ke kampus induk USM di Pulau Pinang bagi menyambung pengajian tahun kedua matrikulasi dan seterusnya hingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

   3.7.1995 merupakan tarikh saya melapor diri sebagai tenaga pengajar di Pusat Matrukulasi Sintok, Kedah. Saya mengajar subjek Matematik. Ditakdirkan Allah saya bertemu jodoh dengan rakan sekerja dan pada tahun 1998 saya berpindah ke Perak dan menetap di sini hingga sekarang.

   Di Perak, saya masih lagi mengajar subjek kegemaran saya iaitu Matematik dan Matematik tambahan. Mengajar di sekolah berasrama penuh memang banyak cabaran. Pelajar-pelajar terpilih memang pandai dan senang faham. Cabarannya ialah memastikan keputusan akademik sentiasa cemerlang. Target keputusan pelajar mesti 'A' . Jika pelajar tidak mendapat 'A' ibarat pelajar tersebut sudah mendapat gred "GAGAL'. Bersiap-sedialah untuk disoal siasat oleh tuan pengetua dan ibu bapa. Semua jari seolah-olah menuding ke arah kami sebagai guru.  Memang sangat stress.  Banyak program kecemerlangan perlu dijalankan siang dan malam. Pelajar tinggal di asrama, jadi tiada masalah untuk menghadiri kelas malam. Kelas hujung minggu dan kelas masa cuti sekolah juga di adakan. Tiga orang anak saya masih kecil pada masa itu. Kadang-kadang hampir maghrib baru sampai di rumah. Hati saya sangat sayu dan sedih apabila melihat mereka terjerit-jerit kegembiraan apabila saya sampai di rumah.  

   Setelah 6 tahun 6 bulan berkhidmat di situ, setelah dua kali membuat permohonan akhirnya permohonan bertukar saya diluluskan. Alhamdulillah. Mengajar di sekolah harian lain pula cabarannya. Pelajar kurang motivasi untuk belajar. Terlalu banyak keseronokan di dunia luar. Pada awalnya saya memang agak terkejut dengan keadaan ini. Inilah cabaran baru bagi saya. Jika dulu saya perlu pastikan pelajar saya mendapat 'A' tapi sekarang saya perlu pastikan semua pelajar saya LULUS sahaja. Jika pelajar boleh LULUS bermakna satu kejayaan besar bagi saya. Cuba bayangkan masih ada pelajar yang tidak menghafal sifir 6 walaupun sudah berada di tingkatan 5. Lebih menyedihkan, mereka tidak berminat untuk membeli kalkulator tetapi sanggup berhabis untuk membeli telefon bimbit. Jadi jika ada pelajar mendapat 'A' bagi Matematik Tambahan, pelajar tersebut memang menjadi sebutan dan contoh sepanjang zaman.

   Tahun ini merupakan tahun ke-20 saya sebagai guru. Bebanan tugasan yang tak pernah reda menyebabkan anak-anak terabai. Pernah disebabkan saya merupakan ketua jawatankuasa pelaksana program, saya terpaksa bawa anak saya yang demam ke sekolah sedangkan doktor (swasta) memberi cuti sakit (bagi pihak anak). Kejamnya saya, tapi saya tiada pilihan pada masa itu. Cukuplah 20 tahun saya berbakti dalam pendidikan. Hidup ini sangat singkat. Saya mahukan masa berharga untuk saya memperbaiki diri saya, menghadiri kelas agama, membetulkan kesilapan diri, menebus kelalaian dalam mendidik anak-anak dan balik kepada fitrah saya sebagai ibu dan isteri serta anak. Saya tidak mahu terikat dengan manusia. Saya mahu bebas menjeguk ibu di kampung tanpa perlu  merayu-rayu cuti saya diluluskan. Alhamdulillah suami dan ibu menyokong keputusan saya.

   Bagi menghilangkan jemu dengan rutin di sekolah, saya suka menjual barangan jahitan kraf yang saya buat seperti keychain, brooch, telekung, beg fabrik, kotak pensil dan bekas tisu. Saya juga mengambil tempahan membuat nametag sulam daripada tadika dan sekolah. 

  Saya juga meminati bidang masakan kek dan pastri. Dorongan utama ialah anak-anak saya. Mereka memang peminat kek dan pastri. Suami saya kurang minat, sekadar merasa dan memberi pendapat saja. Kadang-kadang saya membawa kek yang dibuat untuk dimakan bersama-sama rakan. Akhirnya, saya mendapat tempahan daripada rakan-rakan.

   Disamping itu, saya juga suka berkongsi dengan rakan tentang produk yang saya guna. Produk yang paling mendapat sambutan ialah produk kecantikan diri daripada bahan semulajadi keluaran Secretleaf. Begitu juga dengan Tamarcocoa pengganti Milo. Sambutan memang sangat mengalakkan dan permintaan sangat tinggi. Boleh dikatakan setiap hari saya mendapat tempahan Tamarcocoa. Saya juga akan berkongsi dengan pembaca semua tentang perniagaan yang mudah ini. Insha Allah.

   Saya juga gemar membaca buku dan mengumpul artikel  berkaitan agama, kraf, masakan, jahitan, mengait, motivasi, resepi dan pemasaran. Alhamdulillah, sekarang bacaan juga boleh dibuat menerusi carian di internet.

   Akhir sekali, saya berharap agar sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk menulis 44 entri tugasan. Saya beharap agar dapat membina blog yang menarik, bermaklumat,  memberi manfaat kepada pengunjung dan dapat membuat jaringan yang besar dengan ahli ABDR. Saya ingin menjadikan blog ini sebagai asas kukuh untuk saya bekerja dari rumah  dan bebas hutang. Semoga Pn. Masayu dan rakan-rakan tidak jemu memberi bimbingan dan teguran kepasa saya. Doakan kejayaan buat saya.

Sehingaa bertemu lagi pada masa akan datang.

Sekian.




   
   
   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...