Monday, 21 December 2015

Kain Line Kuning

Entri 14

Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua rakan pembaca dipanjangkan umur dalam keberkatan dan rahmat Allah s.w.t.

Alhamdulillah, kain line kuning telah siap sedia untuk diproses jadi nametag. Kain ni dibeli kat pekan lama Ipoh. Kalau ada kawan-kawan yang baru pertama kali nak jahit nametag tu bolehlah beli kain kat kedai kain Mei Hua Textile Sdn Bhd. Kedainya dekat dengan kedai emas Ng Kamarudin. Kedai ini menghadap jalan besar pekan lama.

Beli kain ni kena GST. Sila bawak duit lebih untuk GST ye. Harganya RM5 semeter dan perlu ditambah dengan GST sebanyak 6%. Sejak Kak Niza menjalankan bisnes tanda nama ni, kedai inilah yang menjadi tempat Kak Niza memborong kain line kuning tersebut. Layanan juga baik. 



Kain line kuning

Nama kain diambil sempena line kuning yang terdapat pada kiang tersebut. Para pembaca boleh nampak dengan jelas line tersebut pada foto di atas.

Cukup dulu buat kali ini kerana Kak Niza nak menyambung tugas menjahit tanda nama pelak. Jumpa lagi di lain entri.


Sekian.

Wassalam.


Wednesday, 16 December 2015

Bisnes Sulaman

Entri 13

Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Alhamdulillah kerana kita semua masih diberi peluang untuk menjadi lebih baik daripada semalam. 


Hari ini Kak Niza nak berkongsi sedikit pengalaman bisnes sulaman yang telah dijalankan mulai tahun 2009 lagi. Pada masa itu, tidak terlintas untuk membuat sebarang bisnes dalam bidang sulaman ni.


Minat yang mendalam terhadap jahitan sulaman telah membuatkan Kak Niza menyertai kelas sulaman manual atau sulaman goyang walaupun sedang sarat mengandungkan anak yang ketiga. 
Sulaman goyang bermaksud sulaman menggunakan mesin tetapi untuk membuat corak, kita perlu  mengayak atau menggerakkan pemidang kain. Dari situ timbulnya istilah sulaman goyang.
Sumber: Internet


Dengan takdir Allah, cikgu yang mengajar sulaman mahu menjual mesin sulaman kerana hendak berpindah ke daerah lain. "Bagai bulan jatuh ke riba", dengan izin suami, kak Niza beli mesin tersebut.
 Mesin model 20u43 jenama Singer ini merupakan  mesin 2 dalam 1. Mesin ini boleh dilaraskan untuk jahit lurus dan jahit zig-zag bagi sulaman. 
Pada masa itu, sulaman hanya sebagai hobi. 

Mesin sulam pertama


Suatu hari, Kak Niza sangat tertarik dengan demo sulaman yang dibuat di pasaraya Macro. Kak Niza sangat jatuh hati dan teringat-ingat akan kecanggihan mesin sulam berkomputer yang boleh beroperasi tanpa perlu goyang-goyang. 
Mesin tersebut juga boleh disambung kepada pendrive dan ada slot untuk kad. Ini bermaksud mesin tersebut memang 'hidup' kerana boleh ditambah corak sulaman selain daripada corak yang sedia ada dalam mesin tersebut.


Tambahan pula, Mak Wan iaitu kakak yang membuat demo tersebut, telah menghadiahkan sehelai saperah bersulam kepada Kak Niza. Setiap hari Kak Niza jadi angau. Akhirnya, mesin tersebut Kak Niza beli dan mesin yang lama telah dijual. Bermulalah episod bisnes sulaman. (Maaf, panjang pula sesi pendahuluan)
Bunga sulaman pada saperah oleh Mak Wan

Kak Niza menebalkan muka bertanyakan guru koperasi sekolah tentang tempahan tanda nama. Tak sangka kerana maklum balas adalah sangat positif. Satu sekolah telah ditawan. Menjahit dan bekerja disamping anak-anak yang masih kecil memang perkara yang agak memenatkan. 

Mesin sulam kedua

Setiap hari, apabila pulang dari kerja, Kak Niza mesti pastikan mesin bekerja mengikut perancangan. Biasanya senarai nama pelajar tingkatan 1 diperoleh pada minggu kedua persekolahan.  Pertengahan bulan Februari semua tanda nama sudah siap bagi pelajar tingkatan 1. Disini kiraan sasaran bilangan tanda nama mesti dibuat.
 Bilangan keping tanda nama  perlu dibahagi dengan bilangan jam  mesin bekerja dalam sehari. Kena pandai membahagikan masa antara kerja, rumahtangga dan hobi .Sasaran mesti dicapai supaya kualiti perkhidmatan tidak terjejas.


Kemudian, dengan izin Allah, kawan-kawan, jiran tetangga, orang persendirian  mula menempah tanda nama untuk anak masing-masing, termasuklah guru tadika anak Kak Niza sendiri. Kemudian, cawangan tadika tersebut juga iaitu Tadika Minda Inovasi Mewah turut menempah tanda nama. 
Perkhidmatan ini telah merebak melalui mulut ke mulut. Suami Kak Niza juga sudah pandai 'membuka mulut' dan mendapatkan tempahan. Alhamdulillah.


Tempahan yang banyak dengan masa yang terhad membuatkan Kak Niza berjaga lewat malam. Pada masa tu kak Niza belum ada software. Sangat rumit jika tedapat nama yang agak panjang. Kak Niza membeli blok huruf daripada Mak Wan. Setiap fail hanya satu huruf. Bayangkan berapa kali Kak Niza perlu buka dan tutup fail untuk mengeja satu nama. Kemudian huruf-huruf tersebut perlu disusun agar sama dan berada ditengah-tengah bingkai tanda nama.
 Memang agak sukar. 
Semua kesukaran terpaksa diredah dan tersemat keazaman untuk membeli software Janome. RM7000 ..... berpeluh dahi  apabila teringatkan kosnya.

Tempahan betambah. Satu mesin tidak dapat menampung pengeluaran dengan produktif. Dengan duit hasil sulaman, Kak Niza membeli sebuah lagi mesin sulam. Rezeki yang tidak dijangka. Melalui Mudah.my, Kak Niza membeli mesin sulam Janome 350e dengan harga RM2500 lengkap dengan kad sulaman dan peralatan lain. Mesin ini hanya boleh berfungsi sbagai mesin sulaman sahaja. Proses sulaman sudah berjalan lancar.  Alhamdulillah sekali lagi. 


Mesin sulam ketiga

Proses memotong benang, memotong kepingan tanda nama, mengemas bahagian tepi, memasukkan 3 keping set nama ke dalam plastik dan mengasingkan tanda nama mengikut kelas pula mesti dilakukan dengan cekap. Anak-anak memberi bantuan. Pernah suatu ketika, oleh sebab terlalu sibuk dengan tugasan rasmi, Kak Niza terpaksa mengepos tanda nama yang sudah siap dijahit ke kampung. Ibu dan adik-beradik menolong melakukan proses lain sehingga siap.


Aktiviti sulaman semakin rancak. Tempahan bekas tisu, tuala, tanda nama, t-shirt,  kotak pensil, beg semakin banyak. Fokus utama ialah sulaman tanda nama. 

Kemudian, kawan Kak Niza iaitu seorang guru telah meminta Kak Niza menjahit tanda nama untuk sekolahnya pula. Rezeki semakin bertambah. Dua buah sekolah dan dua buah tadika. Nampaknya, perlu tambah satu mesin lagi dan software untuk memudahkan kerja.

Terlalu panjang pula celoteh kali ini. Untuk perkongsian mesin keempat dan software akan Kak Niza ceritakan dalam entri seterusnya.

Sekian dulu untuk kali ini. Semoga perkongsian ini memberi sedikit manfaat kepada rakan pembaca.


Sekian.

Wassalam.


Thursday, 10 December 2015

Setting Nama Name Tag

Entri 12

Teks; Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail


Assalamualaikumdan salam sejahtera.

Apa khabar semua rakan? Semoga semua sihat sejahtera. 



Semoga semua berada dalam rahmat Allah s.w.t.

     Rutin semasa cuti akhir tahun dah bermula. Operasi membuat name tag sudah bermula. Alhamdulillah kerana Allah mencampakkan kepercayaan kepada para pelanggan baru dan lama untuk menempah name tag dari Kak Niza.



     Pagi ni, proses setting nama sebelum dijahit. Sotfware Embird banyak membantu Kak Niza membuat setting dengan cepat. Hasil jahitan juga lebih kemas dan cantik apabila dilakukan 'edit' menggunakan software. Format file untk Janome ialah JEF manakala format file untuk Brother ialah PES. Oppppsss...saya tak jual software ye. . smile emoticon Sekadar perkongsian.





     Hari ini, mesin Janome akan bergandingan dengan mesin Brother untuk memaksimumkan pengeluaran. Semoga dipermudahkan Allah urusan pada hari ini.


Tempahan dibuka kepada sesiapa sahaja.
012-4626509
Sekian. Sehingga bertemu di lain entri.
Wassalam



Wednesday, 9 December 2015

Tempahan Tanda Nama

Entri 11
Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Semoga para sahabat berada dalam rahmat Allah.

     Alhamdulillah, tempahan tanda nama bersulam darpada tadika 
sudah diterima. Terima kasih kepada Pn. Noora Siraj, Pengetua Tadika Minda Inovasi Klebang Restu kerana masih menjadi pelanggan setia Kak Niza. Sudah bertahun-tahun Pn. Noora menempah tanda nama dengan Kak Niza. Alhamdulillah sekali lagi dengan pemberian rezeki dari Allah ini.

     Dengan teknologi sekarang, tempahan hanya melalui wassup. Sangat senang dan cepat. Sebarang tambahan order Kak Niza terima pada bila-bila masa. Maklumlah, pendaftaran pelajar baru masih berlangsung.  Sebenarnya tempahan nametag sama macam tempahan kek. Sepanjang tahun tempahan masih lagi diterima.

     Para rakan pembaca tidak perlu takut untuk membeli mesin sulam berkomputer. Ini kerana banyak projek boleh dibuat sama ada sebagai hobi atau untuk mencari pendapatan tambahan. Malah banyak rekaan corak boleh didapati secara percuma dari internet, dibeli atau ditempah blok sulaman  yang dikehendaki.

     Pendapatan kasar tempahan nametag bagi satu sekolah boleh mencecah RM1500, bergantung kepada jumlah pelajar yang menempah dan caj yang dikenakan. Amat berbaloi untuk memiliki sebuah mesin sulam berkomputer. :)





Sekian dulu daripada saya.

Semoga Allah mencukupkan agama dan rezeki kita.

Wassalam

Thursday, 3 December 2015

Beg Fabrik

Entri10

Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail



     Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

     Semoga para rakan pembaca sentiasa di lindungi Allah s.w.t. daripada sebarang musibah.

     Kali ini Kak Niza hendak berkongsi pengalaman Kak Niza membuat bisnes tote beg. Kak Niza memang sangat kagum dengan hasil tangan beberapa bloggers yang pandai menjahit beg. Kak Niza  juga sering  menonton video jahitan beg di Youtube. Memang sangat teruja dan tidak jemu-jemu kak Niza belajar daripada Youtube. Macam ketagihan pula rasanya.

     Alhamdulillah, dengan kekuatan yangg Allah s.w.t. berikan, Kak Niza mula menjahit tote beg saya yang pertama. Maaf, tiada foto sebagai bahan bukti. kak Niza  menggunakan fabrik heavy cotton yang dibeli di kedai kain Nagoya. Fabrik ini  agak tebal dan lasak. Jadi, ia sesuai digunakan sebagai lapisan beg di bahagian luar. Kain gam atau batting perlu digunakan bagi menghasilkan beg yang tegap.

     Bagi lapisan dalam, Kak Niza  menggunakan kain belacu. Kain belacu menjadi pilihan kerana fabriknya yang agak stabil. Boleh juga digunakan kain cotton bercorak bagi menghasilkan beg yang lebih cantik.

     Bahagian dalam juga sKak Niza  buatkan poket berzip dan slot utuk meletak telefon bimbit. Sebagai hiasan, Kak Niza letakkan bunga fabrik  yang dibuat sendiri. Ada juga diletakkan bunga yang dikait menggunakan benang bulu kambing. Gambar tu gambar daripada blog KakNiza yang lama. Bolg tu telah saya hapuskan atas sebab tertentu.
       Beg yang siap Kak Niza gayakan ke tempat kerja. Iklan bergerak tanpa bayaran dan promosi. Hanya pakai di tempat kerja untuk membawa buku dan telekung. Mudahkan! Alhamdulillah, ramai pula rakan sekerja yang berminat untuk menempah. Dari situ, bilangan tempahan makin bertambah sehingga Kak Niza tidak menang tangan. 








        Semoga tulisan Kak Niza  memberi sedikit manfaat kepada rakan semua, Sekian dulu untuk kali ini.

       Semoga bertemu di lain entri.

      Wassalam.
   
  
     

Dunia Jahitan

Entri 9

Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera.

     Semoga kita semua sentiasa diberi kekuatan untuk menjadi lebih baik daripada diri kita semalam.


   Alhamdulillah hari ini saya diberi kesempatan untuk berkongsi pengalaman Kak Niza dalam bidang jahitan. Sekadar perkongsian pengalaman biasa sahaja. Kak Niza mula mengenali jarum dan benang sejak dari bangku sekolah rendah. Ibu Kak Niza seorang tukang jahit. Perumpamaan 'ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi" agak boleh sesuai untuk KakNiza walaupun kuah yang tumpah itu hanya sedikit sahaja.


     Bermula dengan memerhati, menolong menyemat jarum peniti pada kain, menyurih garisan pola pada kain, menyembat hujung lengan dan leher, memotong dan akhirnya menjahit menggunakan mesin. Mesin yang digunakan pada masa iti ialah mesin goyang kaki jenama Raleigh berwarna hitam. Kemudian, selari dengan peredaran masa dan pertambahan tempahan, emak telah bertukar kepada mesin jahit industri.


     Musim perayaan dan cuti sekolah hujung tahun merupakan masa untuk mencari pendapatan yang lebih. Semua orang sedia maklum bahawa pada musim perayaan, tukang jahit adalah orang yang sangat sibuk. Selain daripada menyiapkan tempahan baju raya, kami juga sibuk menjahit tempahan langsir. Alhamdulillah, rezeki daripada Allah.

      Begitu juga pada akhir tahun.  Di kampung Kak Niza,  pada zaman 1980-an, kebanyakan ibubapa akan menempah baju sekolah. Sangat jarang ibubapa membeli baju sekolah, Pada masa itu Kak Niza  sibuk menolong ibu  menjahit baju sekolah. Baju adik-adik pula memang telah diamanahkan  100% kepada Kak Niza  untuk menyiapkannya. Dari situlah Kak Niza belajar melukis pola, memotong dan seterusnya menjahit baju termasuklah membuat kemasan hujung lengan, leher dan pinggang kain.

     Minat menjahit juga termasuklah menjahit sulaman bunga pada sapu tangan, alas meja, sarung bantal dan baju. Sulam hanya menggunakan jarum jahit tangan dan benang sulam kapas jenama DMC. Pada masa itu, Kak Niza tidak mengetahui nama atau teknik jahitan yang diajar oleh ibu. Hanya sekadar menghafal dan memahami cara-cara menyiapkan sulaman sahaja.

      Sekarang, Kak Niza menyulam menggunakan mesin berkomputer. Senang dan seronok. Blog http://aksesorikristal.blogspot tu blog lama  Kak Niza yang telah dihapuskan atas sebab tertentu.









 

      Sekian dulu sebahagian daripada kisah dunia jahitan Kak Niza. Tiada yang luarbiasa tetapi kebiasaan itu mengasah bakat kurniaan Allah sehingga boleh mendapatkan pendapatan tambahan bermula daripada perkara biasa-biasa sahaja.

      Semoga bertemu di lain entri.


     Wassalam.




       

     

Kek Cheese Gebu Gebas

Entri 8

Teks: Aniza Ismail
Foto: Aniza Ismail

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Semoga rakan pembaca tabah menghadapi dugaan dan ujian daripadaNya.

     Malam tadi  Kak Niza mahu membuat eksperimen resepi daripada Pn. Azlina Ina. Kak Niza memang terliur melihat kek-kek beliau yang begitu gebu enak. Terima kasih kepada beliau kerana sudi berkongsi ilmu. Semoga rezeki beliau semakin murah. Para pembaca boleh tengok fb beliau. Banyak resepi kek jualannya di kongsi tanpa rahsia. Ramai yang dah cuba dan hasilnya memang menjadi, dengan izin Allah jua.

     Kek perisa vanilla ini mempunyai berat 1 kg apabila disalut dengan cream cheese dan dihiasi dengan parutan cheddar cheese. Kak Niza mengguna cream cheese jenama Tatura dan cheddar cheese jenama Bega yang dibeli daripada pasaraya Mydin.


       Dalam mangkuk adalah cheddar cheese yang telah diparut menggunakan pemarut seperti dalam gambar di atas. Boleh juga disimpah sekejap parutan cheese ke dalam peti ais supaya  senang untuk ditabur di atas kek. Cara yang lain ialah terus memarut cheddar cheese di atas kek yang telah disalut cream cheese.


     Kali ini, Kak Niza  kurangkan kecairan cream cheese kerana tidak mahu ia agak meleleh. Terpulang kepada citarasa masing-masing, Hanya tambahkan susu cair sekiranya inginkan cream cheese yang agak meleleh. Kak Niza juga  hanya menggunakan 1/4 buku cheddar cheese kerana anak-anak tidak menggemari rasa cheese yang agak muak.

     Memang seronok melihat anak-anak makan kek air tangan sendiri  :). Di sini Kak Niza komgsikan resepi daripada fb Azlina Ina. Kredit kepada beliau.

Kek Cheese Leleh
Resepi : Azlina Ina

Bahan-bahan Kek
5 biji telur (Kak Niza guna telur B)
1 cawan gula kastor
1 sudu besar ovalate
1 sudu kecil serbuk vanila/esen vanila
cairkan butter dan sukat 5 sudu besar  atau 1/4 cawan
1 1/2 cawan tepung 
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
 5 sudu besar susu cair full cream atau susu cair
Cara membuatnya
1. Putar telur, gula kastor, ovalate dan esen vanila sampai kembang gebu.
2. Ayakkan tepung, soda bikarbonate dan serbuk penaik.
3. Masukkan  bahan ayak tadi sedikit demi sedikit  ke dalam adunan telur. Perlahankan mixer. Putar sebati.

4. M
asukkn susu cair  atau susu full cream. Putar lagi selama 2 minit. Matikan mixer.
5. Masukkn  butter cair atau minyak. Guna kaedah kaup balik sahaja.

Sekarang, oleskan loyang dengan minyak atau mentega.  Guna loyang 8 inci..
Lapikkan loyang dengan baking paper. Kalau tak ada baking paper, boleh guna kertas A4. Jangan risau, kak Niza  memang selalu guna kertas A4 putih saja. Potong bentuk bulat ye.

Masuk adunan dalam loyang.
Lapik atau bungkus  penutup kukusan dengan tuala. Boleh juga tutup permukaan loyang  dengan plastik biasa dan kukus selama 30 minit atas  api sederhana

Tips:  kalau kukus lebih masa, tengah-tengah kek akan mendap. Penting ni ye.

Apabila kek sudah masak, terus tebalikkan  kek di atas redai. Apabila dah suam keluarkan  loyang. Langkah ini untuk mengelakkan kek jadi mendap dan kecut.

Topping 
1/4 cawan whipping cream atau susu cair
1 tiub tartura cheese 250g
1 cawan susu pekat



1. Putar sebati semua bahan.
2. Kalau nak dapatkan leleh yang lebih,  boleh tambahkan susu cair atau whipping cream.
3. Kalau suka aduanan yang  pekat, sukatan ini sesuai
4. Tuang pada kek dan parutkan cheedar cheese.  Saya  guna jenama Beqa. Dah siap.


Selamat mancuba!


Sekian dulu entri kali ini.


Semoga bertemu di lain masa.


Wassalam.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...