Saturday 30 May 2015

Salam Pembuka Bicara

Entri 1

Teks: Aniza Ismail



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

   Salam perkenalan dan salam pembuka bicara kepada semua. Setelah sekian lama bertangguh-tangguh untuk menulis entri pertama, akhirnya Allah memberi kekuatan dan kelapangan waktu untuk saya menulis sedikit pengenalan diri sebagai mukaddimah. Syukur alhamdulillah yang tidak terhingga.

   Nama saya ialah Aniza binti Ismail. Saya merupakan anak jati Terangganu dan telah bertemu jodoh di Kedah dan sekarang menetap di Perak. Saya mendapat pendidikan rendah dan menengah di Terengganu. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat matrikulasi di MRSM Kulim, Kedah. Setahun berada di Kedah, saya ke kampus induk USM di Pulau Pinang bagi menyambung pengajian tahun kedua matrikulasi dan seterusnya hingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

   3.7.1995 merupakan tarikh saya melapor diri sebagai tenaga pengajar di Pusat Matrukulasi Sintok, Kedah. Saya mengajar subjek Matematik. Ditakdirkan Allah saya bertemu jodoh dengan rakan sekerja dan pada tahun 1998 saya berpindah ke Perak dan menetap di sini hingga sekarang.

   Di Perak, saya masih lagi mengajar subjek kegemaran saya iaitu Matematik dan Matematik tambahan. Mengajar di sekolah berasrama penuh memang banyak cabaran. Pelajar-pelajar terpilih memang pandai dan senang faham. Cabarannya ialah memastikan keputusan akademik sentiasa cemerlang. Target keputusan pelajar mesti 'A' . Jika pelajar tidak mendapat 'A' ibarat pelajar tersebut sudah mendapat gred "GAGAL'. Bersiap-sedialah untuk disoal siasat oleh tuan pengetua dan ibu bapa. Semua jari seolah-olah menuding ke arah kami sebagai guru.  Memang sangat stress.  Banyak program kecemerlangan perlu dijalankan siang dan malam. Pelajar tinggal di asrama, jadi tiada masalah untuk menghadiri kelas malam. Kelas hujung minggu dan kelas masa cuti sekolah juga di adakan. Tiga orang anak saya masih kecil pada masa itu. Kadang-kadang hampir maghrib baru sampai di rumah. Hati saya sangat sayu dan sedih apabila melihat mereka terjerit-jerit kegembiraan apabila saya sampai di rumah.  

   Setelah 6 tahun 6 bulan berkhidmat di situ, setelah dua kali membuat permohonan akhirnya permohonan bertukar saya diluluskan. Alhamdulillah. Mengajar di sekolah harian lain pula cabarannya. Pelajar kurang motivasi untuk belajar. Terlalu banyak keseronokan di dunia luar. Pada awalnya saya memang agak terkejut dengan keadaan ini. Inilah cabaran baru bagi saya. Jika dulu saya perlu pastikan pelajar saya mendapat 'A' tapi sekarang saya perlu pastikan semua pelajar saya LULUS sahaja. Jika pelajar boleh LULUS bermakna satu kejayaan besar bagi saya. Cuba bayangkan masih ada pelajar yang tidak menghafal sifir 6 walaupun sudah berada di tingkatan 5. Lebih menyedihkan, mereka tidak berminat untuk membeli kalkulator tetapi sanggup berhabis untuk membeli telefon bimbit. Jadi jika ada pelajar mendapat 'A' bagi Matematik Tambahan, pelajar tersebut memang menjadi sebutan dan contoh sepanjang zaman.

   Tahun ini merupakan tahun ke-20 saya sebagai guru. Bebanan tugasan yang tak pernah reda menyebabkan anak-anak terabai. Pernah disebabkan saya merupakan ketua jawatankuasa pelaksana program, saya terpaksa bawa anak saya yang demam ke sekolah sedangkan doktor (swasta) memberi cuti sakit (bagi pihak anak). Kejamnya saya, tapi saya tiada pilihan pada masa itu. Cukuplah 20 tahun saya berbakti dalam pendidikan. Hidup ini sangat singkat. Saya mahukan masa berharga untuk saya memperbaiki diri saya, menghadiri kelas agama, membetulkan kesilapan diri, menebus kelalaian dalam mendidik anak-anak dan balik kepada fitrah saya sebagai ibu dan isteri serta anak. Saya tidak mahu terikat dengan manusia. Saya mahu bebas menjeguk ibu di kampung tanpa perlu  merayu-rayu cuti saya diluluskan. Alhamdulillah suami dan ibu menyokong keputusan saya.

   Bagi menghilangkan jemu dengan rutin di sekolah, saya suka menjual barangan jahitan kraf yang saya buat seperti keychain, brooch, telekung, beg fabrik, kotak pensil dan bekas tisu. Saya juga mengambil tempahan membuat nametag sulam daripada tadika dan sekolah. 

  Saya juga meminati bidang masakan kek dan pastri. Dorongan utama ialah anak-anak saya. Mereka memang peminat kek dan pastri. Suami saya kurang minat, sekadar merasa dan memberi pendapat saja. Kadang-kadang saya membawa kek yang dibuat untuk dimakan bersama-sama rakan. Akhirnya, saya mendapat tempahan daripada rakan-rakan.

   Disamping itu, saya juga suka berkongsi dengan rakan tentang produk yang saya guna. Produk yang paling mendapat sambutan ialah produk kecantikan diri daripada bahan semulajadi keluaran Secretleaf. Begitu juga dengan Tamarcocoa pengganti Milo. Sambutan memang sangat mengalakkan dan permintaan sangat tinggi. Boleh dikatakan setiap hari saya mendapat tempahan Tamarcocoa. Saya juga akan berkongsi dengan pembaca semua tentang perniagaan yang mudah ini. Insha Allah.

   Saya juga gemar membaca buku dan mengumpul artikel  berkaitan agama, kraf, masakan, jahitan, mengait, motivasi, resepi dan pemasaran. Alhamdulillah, sekarang bacaan juga boleh dibuat menerusi carian di internet.

   Akhir sekali, saya berharap agar sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk menulis 44 entri tugasan. Saya beharap agar dapat membina blog yang menarik, bermaklumat,  memberi manfaat kepada pengunjung dan dapat membuat jaringan yang besar dengan ahli ABDR. Saya ingin menjadikan blog ini sebagai asas kukuh untuk saya bekerja dari rumah  dan bebas hutang. Semoga Pn. Masayu dan rakan-rakan tidak jemu memberi bimbingan dan teguran kepasa saya. Doakan kejayaan buat saya.

Sehingaa bertemu lagi pada masa akan datang.

Sekian.




   
   
   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...