Friday 9 October 2015

Sulaman Tanda Nama

Entri 5

Teks : Aniza Ismail
Foto : Aniza Ismail



Assalamulaikum dan salam sejahtera.

Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan Allah.

    Kali ini Kak Niza ingin berkongsi tentang tempahan hari ini. Tengah hari tadi, anak  Kak Niza membawa tempahan tanda nama daripada sekolahnya. Walaupun sudah penghujung tahun, masih ada lagi pelajar yang membuat tempahan tanda nama.

    Anak Kak Niza  merupakan pengawas koperasi sekolahnya. Semua tempahan tanda nama akan melalui koperasi sekolah. Jadi, guru koperasi akan membuat tempahan melalui anak Kak Niza. Tempahan kali ini hanya untuk seorang pelajar tingkatan 3. Rupa-rupanya disebabkan pelajar tersebut akan menduduki peperiksaaaan PT3 minggu depan, barulah pelajar tersebut mahu menggantikan tanda nama lama dengan yang baru.

    Biasanya, setiap tingkatan menggunakan tanda nama yang berbeza dari segi warna. Keadaan ini akan memudahkan guru untuk mengenalpasti pelajar tersebut berada dalam tingkatan tertentu. Bagi sekolah anak Kak Niza, pelajar tingkatan 3 menggunakan tanda nama berwarna biru dan disulam namanya dengan benang berwarna putih. 

    Kak Niza menggunakan kain yang dipanggil 'kain line kuning". Kak Niza tidak pasti nama sebenar kain tersebut. Kain ini memang sering digunakan oleh ramai tukang jahit untuk menyulam tanda nama. Biasanya, di Pekan Lama Ipoh, harga kain ini antara RM 5.00 - RM 5.50 semeter. Tetapi sejak negara kita mengenakan GST dan dengan nilai ringgit Malaysia sekarang, Kak Nizatidak pasti harga terkini. Benang sulam yang sering Kak Niza gunakan pula ialah benang Senorita. 

       Senang saja menyulam tanda nama menggunakan mesin sulam berkomputer. Kak Niza  menggunakan mesin sulam  model MC 11000 dari jenama Janome. Berikut adalah langkah-langkah menyulam tanda nama:

1.  Taipkan nama ke dalam frame tanda nama. Terdapat dua pilihan. Pilihan petama ialah menaip terus menggunakan huruf dan frame yang terdapat dalam mesin jahit. Pilihan kedua ialah menggunakan software sulaman seperti Embird, Icliqq atau PE Design. Tanda nama yang sudah dibuat dalam laptop perlu dipindahkan ke mesin jahit.

2.   Pasangkan kain pada ram. Pastikan kain ditarik tegang. Lapikkan sebelah bawah ram dengan kertas gam. Tekan butang "Start" dan mesin akan menyulam sehingga selesai. Senang kan!

3.   Keluarkan ram daripada pemegang ram.

4.   Proses memotong lebihan benang dan menggunting setiap keping tanda nama. Proses ini agak memakan masa. Kak Niza  menggunakan gunting, penyepit dan penetas untuk proses ini. Mesin jahit Kak Niza tidak dapat membaca arahan pemotongan benang daripada software. Jadi kena buat secara manual. Mesin yang lebih canggih seperti mesin Janome MB Craft boleh memahami arahan pemotongan benang.

5.  Tepi kepingan tanda nama agak tidak kemas kerana terdapat juraian benang daripada kain yang dipotong. Jadi, setiap keping tanda nama akan dibakar tepinya dengan menggunakan besi pemanas.

6.   Satu set tanda nama terdiri daripada 3 keping tanda nama.

7.  Tanda nama yang telah siap dimasukkan ke dalam plastik untuk di hantar kepada koperasi sekolah.


    Diharap perkongsian ini dapat membantu rakan pembaca yang masih kurang yakin untuk mengendalikan mesin jahit berkomputer.  Jika ada kesempatan, Kak Niza  juga ingin berkongsi pengalaman Kak Niza mendapat pendapatan sampingan melalui tempahan tanda nama dan beberapa hasil sulaman yang lain. Insya Allah.

      Semoga bertemu lain di lain masa.


Sekian.

Wassalam.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...